Wednesday, July 14, 2010
Saturday, July 10, 2010
Orang Ramai Diminta Kerap Sertai Gotong-Royong Cegah Denggi
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Masyarakat setempat diminta supaya kerap melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong bagi mencegah penularan kes demam denggi, yang semakin meningkat terutama di Lembah Klang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata statistik kementerian menunjukkan hanya 13 peratus atau 925 daripada 6,950 aktiviti gotong-royong dilaksanakan oleh masyarakat setempat seluruh negara sepanjang tahun lepas.
"Oleh itu, adalah diharap ketua-ketua masyarakat dan penduduk setempat terlibat secara aktif dalam aktiviti gotong royong dan pembersihan kawasan masing-masing.
"Bagi menjamin kesejahteraan kita semua, konsep gotong royong yang semakin tiris dan hampir pupus di dalam komuniti Malaysia patut disuburkan semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong Royong Perdana "Jom Ganyang Aedes" di Taman Kajang Mewah, Kajang di sini pada Sabtu.
Gotong Royong Perdana itu dianjur oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Balai Bomba Kajang.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Aznil Nawawi sebagai ikon antidenggi Kementerian Kesihatan.
Liow juga menyertai gotong-royong bersama penduduk setempat sebelum melawat empat rumah yang anggota keluarganya dijangkiti demam denggi dua bulan lepas melibatkan satu kematian.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)